Friday 3 January 2014

Winter Holidays Part 1 - Lancaster & Lake District

Rasanyan belum terlambat lagi untuk mengucapkan salam tahun baru untuk semua. Berakhirlah tahun 2013 yang amat bererti buat kami sekeluarga kerana merupakan tahun pertama kami memulakan kehidupan di perantauan. Alhamdulillah Mr. Hubby telah menjalani progress panel dengan baik pada penghujung November yang lalu dan dibenarkan meneruskan pengajian di tahun 2. Penghujung tahun 2013 yang agak sibuk - bawa anak-anak bercuti dan juga menerima tetamu di rumah.

Sejak datang ke UK bulan Mac 2013, rasanya ini percutian kami yang paling lama. Oleh kerana kat sini cuti sempena Christmas Day, supervisor Mr. Hubby bagi cuti dan Aiman pun tiada football match atau training selama dua minggu...dapat la berjalan lama sikit. Kami merancang untuk buat 'lawatan balas' ke rumah kawan di Lancaster dan Glasgow, di samping ke tempat-tempat menarik di sana.

Kami bertolak pada hari Ahad, 23 Dis 2013 ke rumah Ja'a dan Dar di Bentham Road, Lancaster. Dar dah di tahun akhir pengajian, insyaAllah bulan tiga nanti akan kembali ke Malaysia. Tiba di sana hampir jam 3 petang. Kami disambut dengan hidangan lunch iaitu kari ikan sea brim, udang goreng dan sambal belacan serta ulam-ulaman yang sedap dan menyelerakan. Selesai makan dan berbual-bual, mereka mengajak kami berjalan-jalan di sekitar bandar Lancaster. Oleh kerana hari dah malam, kebanyakan kedai-kedai dah pun ditutup..kami cuma singgah di kedai milik rakyat Malaysia (Cina) yang dah lebih 20 tahun menetap di sana. Tapi auntie ni masih fasih berbahasa Malaysia. Kedai kepunyaan dia dan suami tu dua tingkat, di tingkat bawah jual groceries brg2 Asian manakala kat tingkat atas pula kedai makan.


 Suasana malam di Lancaster city

K.F Oriental Food Store milik orang Malaysia

Pulang bersiar-siar kami dijamu pula dengan pulut durian, kuih-muih dan teh tarik. Kenyang betul....kemudian Mr. Hubby memenuhi permintaan mereka untuk buat roti canai. Malam tu uli tepung untuk ditebar esok pagi. Keesokan paginya, Mr. Hubby mulakan operasi menebar sambil Dar dan Ja'a pun belajar sama...selain roti canai, buat juga roti telur dan roti bom (marjerin+gula). Sedap makan dengan kuah kari ikan semalam. Selain tu Dar juga dah siap sediakan mee goreng untuk sarapan kami.

Lebih kurang jam 12 tengah hari, kami 'check out' untuk meneruskan perjalanan ke Glasgow. Sebelum itu, Dar dan suami bawa kami ke Lake District di Cumbria, lebih kurang 45 minit dari rumah mereka.  Lake District ini merupakan tasik yang terpanjang di England. Sayangnya waktu kami tiba hari hujan tapi Lake District tetap kelihatan cantik dan mengagumkan. Tidak hairanlah ia menjadi tempat tumpuan pelancong tak kira apa musim sekalipun.



Kat situ ada aktiviti lake cruising. Kebetulan waktu kami tiba di situ ada satu boat yang dah bersedia nak bergerak. Kami cepat-cepat beli tiket sebab kalau terlepas yang tu next boat adalah 2 jam kemudian. Boat tersebut membawa kami menyusuri tasik yang terbentang luas. Oleh kerana hari hujan, tiada penumpang tempat duduk di deck atas. Senang la kami nak berposing kat atas tu...






Boat yang kami naik tu mengambil masa 45 minit mengelilingi tasik. Ada beberapa lagi trip lain, yang paling panjang ialah 3 jam (kalau tak silap). Yang itu mungkin perjalanannya lebih jauh lagi.

Selesai mengelilingi tasik, kami bersiar-siar di kawasan sekitar sambil singgah di kedai cenderamata. Oleh kerana hari dah mulai gelap, kami berpisah seketika dengan Dar dan family...Mereka pulang ke rumah manakala kami pula meneruskan perjalanan ke Glasgow, Scotland.

No comments:

Post a Comment